Kolej Profesional MARA Seri Iskandar merupakan salah satu Institusi Pendidikan Tinggi MARA di bawah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA yang mula beroperasi dengan ambilan pertama pada Januari 2004. Kampus ini telah dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, pada 5 Jun 2007 bersamaan 19 Jamadilawal 1428H. Terletak di Bandar Seri Iskandar, KPMSI berada di kedudukan strategik dalam sebuah bandar pendidikan yang pesat membangun serta dikelilingi oleh pelbagai institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat yang aktif. Lokasi ini memberi kelebihan dari segi akses kepada rangkaian industri, peluang keusahawanan serta ekosistem perniagaan yang berkembang, sekali gus menyokong aspirasi KPMSI sebagai sebuah hab perniagaan yang dinamik untuk pelajar menimba ilmu dan pengalaman sebenar dalam dunia perniagaan.
KPMSI kini mempunyai kira-kira 1,000 orang pelajar dari seluruh Malaysia serta disokong oleh 101 orang kakitangan yang berkemahiran dan profesional dalam pelbagai bidang. Institusi ini menawarkan empat program diploma utama iaitu Diploma in English Communication, Diploma in Marketing, Diploma in Business Information Technology dan Diploma in International Business yang dibangunkan selaras dengan keperluan industri semasa. Semua program yang ditawarkan telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA), menjamin kualiti dan standard pendidikan yang tinggi.
Sebagai nilai tambah, KPMSI turut menyediakan pensijilan profesional yang digabungkan bersama program sedia ada seperti Diploma in English Communication dengan pensijilan daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Diploma in Marketing bersama Certified Professional Marketer (CPM), bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. Selain itu, KPMSI juga menawarkan program Pra Diploma bagi memberi peluang kepada pelajar yang kurang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping memperkenalkan kursus jangka pendek seperti kursus Bahasa Mandarin sebagai nilai tambah kemahiran komunikasi global. Seiring dengan perkembangan dunia perniagaan, KPMSI komited untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran serta berdaya saing dalam bidang keusahawanan dan industri.